SEREMBAN: Mahkamah Tribunal Tuntutan Pengguna di sini, Isnin mengarahkan sebuah syarikat, SmartSaver Technology untuk mengembalikan wang kepada seorang kakitangan kerajaan, K. Eeswary, 42, tertipu dengan alat penjimatan elektrik keluaran syarikat itu.
Tribunal yang dipengerusikan Mohd Nasrim Mohd Salleh mengarahkan SmartSaver Technology memulangkan semula wang berjumlah RM1,999 berserta kos RM200 kepada Eeswary dalam tempoh 14 hari selepas surat arahan daripada mahkamah itu dihantar ke pejabat syarikat itu di Shah Alam.
Dalam perbicaraan pada hari Isnin, SmartSaver Technology dan wakil jualannya di Pagoh, Rosdi Abdul Rahman tidak hadir ke mahkamah.
Terdahulu, Nasrim sempat mengingatkan K. Eeswary supaya tidak lagi tertipu kerana Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri tidak pernah mengiktiraf alat itu dan jurujual terbabit tidak menunjukkan surat kebenaran dari TNB.
Sementara itu, Eeswary memberitahu BERNAMA di luar mahkamah, dia membeli alat itu pada Februari tahun ini di Pagoh setelah diyakinkan oleh Rosdi bahawa bil elektrik rumahnya yang terpaksa ditanggung RM200 setiap bulan dapat dikurangkan sebanyak 30 peratus dengan alat penjimatan elektrik keluaran SmartSaver Technology.
Selepas menerima alat itu dan digunakan selama tiga bulan, alat itu katanya tidak berjaya mengurangkan bil elektriknya.
"Saya kemudian diminta untuk menghantar semula alat itu dan jurujual terbabit berjanji akan menggantikan dengan alat yang lain tetapi selepas Hari Raya Aidilfitri, alat itu tidak sampai ke rumah saya," katanya.
Eeswary turut menghubungi SmartSaver Technology tetapi syarikat itu tidak melayan tuntutannya malahan menyatakan tidak mengenali Rosdi, jurujual yang menjadi wakil syarikat itu di Pagoh.
"Saya mahu perkara ini dijadikan iktibar supaya orang seperti kita tidak lagi tertipu," katanya. - The Star
Reading
0 comments:
Post a Comment